Search

Enam cedera Hilux terbabas

March 30, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas sendiri di Jalan Lahad Datu–Sandakan, Kilometer 33, berhampiran Sandau, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan tiba di tempat kejadian pada jam 8.42 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 30 kilometer.

“Kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux Single Cab yang dipercayai terbabas ke bahu jalan.

“Terdapat enam mangsa terlibat iaitu empat lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan tersepit dan semua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Semua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Menurutnya, operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota APM dan enam petugas KKM.

“Tiada liputan GIRN di lokasi kejadian. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.26 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. – Info X