PENAMPANG: Artis tempatan Sabah banyak menyumbang kepada perkembangan dunia hiburan Sabah meskipun kini berdepan cabaran kecanggihan dunia digital.
Hakikat itu dijelaskan Presiden Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Guadik Ansiw pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam PERTISA 2026, di Donggongon, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, sumbangan setiap artis tempatan yang datang dari pelbagai etnik di Sabah itu wajar diberi penghargaan sebagai tanda sokongan terhadap karier seni masing-masing.
Berikutan itu, katanya PERTISA mengambil inisiatif menganjurkan malam apresiasi untuk artis tempatan negeri ini, khususnya yang bernaung di bawah persatuan itu sebagai penghargaan kepada mereka.

“Jarang majlis untuk menghargai jasa artis diadakan dan atas sebab itu PERTISA mengambil inisiatif memulakannya. Kalau mahu lebih besar kita kena mulakan sesuatu, tidak payah tunggu orang lain buat untuk kita.
“Kita boleh ikhtiar mulakan sendiri, umpamanya majlis malam ini adalah atas usaha PERTISA sendiri dan kita harap acara ini juga dapat diteruskan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Majlis apresiasi dan makan malam yang dihadiri kira-kira 100 artis dan penggiat industri hiburan tempatan Sabah itu dirasmikan Penaung PERTISA, Drs Monih Epin.
Mereka tersiri daripada artis pelbagai etnik di Sabah seperti Dusun, Kadazan, Murut, Tatana, Rungus, Bisaya, Bajau dan Bugis.
Guadik berkata, sumbangan artis tempatan dapat dinilai melalui lagu-lagu tempatan Sabah yang berkumandang di saluran radio berpangkalan di negeri ini.
“Lagu kita berkumandang di radio, jika kita tidak hantar lagu di stesen radio apa akan jadi..jadi, sumbangan kita kepada dunia hiburan cukup besar. Nilai kita ialah keikhlasan menghasilkan karya,” katanya.
Artis etnik Tatana yang popular dengan panggilan Adex itu turut menyuarakan cabaran semasa yang dihadapi artis tempatan Sabah untuk menerus dan mengembangkan lagi karier seni masing-masing.
Selain penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI yang kini boleh digunakan untuk ‘melahirkan’ penyanyi alam maya, beliau turut membangkitkan isu bayaran diterima artis tempatan.
Beliau mendakwa artis tempatan Sabah masih menerima bayaran yang lebih rendah untuk membuat persembahan, berbanding artis bertaraf nasional.

Katanya, adalah tidak adil meletakkan bayaran yang rendah kepada artis tempatan hanya kerana jumlah mereka yang ramai atau berlaku ‘lambakan’.
“Artis tempatan Sabah memang ramai dan adakah kerana ramai artis di Sabah, harga kita jatuh kerana ada lambakan.
“Jadi kita kena fikir supaya tiada ‘double standard’..sama seperti hasil pertanian, bila berlambak harga jatuh atau murah. Kita sama-sama fikir jalan penyelesaiannya,” katanya.
Sementara itu, Monih turut menyuarakan cabaran artis masa kini termasuk artis tempatan Sabah yang tiada lagi produk fizikal untuk dijual, berbanding zaman kaset dan cakera padat pada era 1980-an hingga awal 2000-an.
Katanya, artis masa kini perlu memikirkan kaedah untuk memasarkan lagu nyanyian atau ciptaan masing-masing agar terus mendapat hasil pendapatan atau pulangan daripada karya seni mereka.
“Cabaran sekarang ialah macam mana jual lagu, bagaimana dapat hasil daripada kegiatan seni mengikut trend yang baharu pada masa kini.
“Kita kena belajar apa caranya, semua sama cabaran di seluruh dunia, iaitu macam mana dapat ‘income’ dari lagu kita. Dulu ada produk fizikal, sekarang tiada, jadi macam mana mahu jual lagu,” katanya.
Beliau turut memuji perkembangan PERTISA yang kini sudah berusia 25 tahun sebagai sebuah persatuan yang mengumpulkan penyanyi, penulis lirik, pencipta lagu dan penggiat seni di Sabah.

Pada majlis itu, PERTISA turut menjemput seramai 10 artis tempatan ‘legend’ atau veteran sebagai penghargaan terhadap sumbangan terdahulu mereka dalam perkembangan dunia hiburan tempatan Sabah.
Mereka ialah Jimmy Ginggor, Juanis Mantahan, Joseph Singkawan, Frankie Pulian Masanggon, Steven Jimin, Rosdi Bambangan, Jonthan Ensin, Clarice Vitini Lojobin, Eustachius John Jinuli dan Alosius Mojilis.
Majlis itu turut dihadiri wakil dari rakan strategik PERTISA, antaranya RTM dan KupiKupi FM, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah serta lain-lain penggiat industri hiburan tempatan. – Info X