Search

Tun Musa tekankan keperluan naik taraf jalan raya, bekalan air dan elektrik di Sabah

March 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menekankan keperluan untuk menaik taraf jalan raya, sistem bekalan air bersih dan elektrik yang stabil di Sabah.

Perkara itu ditekankan beliau dalam perutusan khas sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 beliau pada Isnin.

Musa berkata usaha itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Jelasnya, tiga kemudahan asas itu juga penting bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar.

“Pembangunan prasarana yang terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya.

Musa turut menekankan kepentingan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras keperluan pasaran kerja masa kini.

Katanya, penekanan terhadap aspek kesihatan juga perlu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.

Musa turut menggesa agar seluruh rakyat Sabah terus memelihara perpaduan, memperkukuh integriti dan mengutamakan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi demi kestabilan dan kemajuan Sabah.

“Negeri Sabah melalui pelbagai cabaran dan perubahan. Namun, dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat, kita terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

Pelbagai inisiatif, katanya dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber.

“Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Beliau juga menyatakan kegembiraannya atas pelaksanaan transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam yang disifatkannya meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemudahan akses kepada rakyat yang membolehkan perkhidmatan kerajaan lebih pantas, tepat dan berkesan.

Pada masa yang sama, Musa turut menekankan keperluan untuk memperkukuh integriti dalam perkhidmatan awam agar sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membina sebuah pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat.

“Dalam masa yang sama, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Setiap keputusan perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus yang baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang,” katanya. – Info X