Search

SELARASKAN UPAH PORTER IKUT KADAR TTS, KATA MENTERI

July 4, 2022

admin

RANAU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin mahu kadar upah porter Gunung Kinabalu diselaraskan mengikut kadar Taman Taman Sabah.

Jafry berkata, kadar upah untuk porter mengangkat barang pendaki Gunung Kinabalu yang ditetapkan Taman Taman Sabah ketika ini adalah RM13 sekilogram dengan minimum berat 10 kilogram.

“Menurut data laporan Taman-Taman Sabah, secara purata pendapatan seorang porter pendaki Gunung Kinabalu dengan pendakian sebanyak 12 kali sebulan adalah RM3,540.

“Manakala kadar upah porter untuk mengangkat barang keperluan perkhidmatan bagi penginapan dan restoran ialah RM5 sekilogram yang dikendalikan oleh Mountain Torq dan Sutera Sanctuary Lodge.

“Berat barang yang diangkat seorang porter secara purata sehari adalah 35 kg untuk sekali pendakian dan sekiranya porter mendaki sebanyak 15 kali sebulan, purata pendapatan adalah RM2,625.

“Bagaimanapun, kekerapan pendakian adalah bergantung kepada kerajinan seorang porter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama Taman-Taman Sabah, Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Jafry memaklumkan kadar upah terkini yang diberikan Taman Taman Sabah kepada porter mengangkat barang keperluan penginapan adalah RM5.50 per kilogram.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq juga dapat mempertimbangkan untuk selaraskan kadar upah yang sama dengan Taman Taman Sabah.

Sementara itu, Jafry menyatakan kadar upah bagi malim gunung ketika ini adalah RM230 untuk dua hari satu malam.

Menurutnya, purata seorang malim gunung mengiring pendaki dalam sebulan adalah sebanyak 13 kali dengan anggaran pendapatan RM2,990.

“Kadar upah porter dan malim gunung ini akan dibincangkan dari semasa ke semasa agar mereka juga mampu meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan dan mempunyai standard kehidupan yang lebih baik.

“Upah mereka perlu sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya kepada pendaki Gunung Kinabalu.

“Kita mahu semua poter dan malim juga memberikan perkhidmatan terbaik seiring dengan imej Gunung Kinabalu yang bakal mendapat pengiktirafan sebagai tapak UNESCO Global Geopark,” katanya. – Info X