RANAU: Sebanyak RM10,000 bantuan kewangan bakal diberikan Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya berharap bantuan secara ‘one off’ dapat membantu persatuan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 selain menampung kos pengurusan persatuan yang baru sahaja kembali aktif selepas sempadan negara mulai dibuka April lalu.
“Kementerian turut mengesyorkan agar semua porter dan malim gunung memakai uniform atau baju seragam khas untuk menaikkan lagi imej mereka dimata pelancong serta memberi gambaran terbaik khususnya ketika menjalankan tugas.

“Sebagai permulaan, Kementerian bersama Taman Taman Sabah akan membantu persatuan untuk sama-sama mencari dana bagi menampung kos baju seragam terbabit,” katanya ketika sesi dialog bersama Taman-Taman Sabah, Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jafry juga berharap dengan pengumuman itu ia akan memberikan semangat serta membolehkan Malim gunung dan Poter melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik. – Info X