PUTATAN: Lapan pasukan bersaing merebut gelaran juara bola sepak menerusi kejohanan KKN24 Social League 2026 Tanjung Keramat yang berlangsung selama empat bulan.
Kejohanan peringkat tempatan itu adalah inisiatif baharu pembangunan belia melalui sukan, khususnya bola sepak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Ketika melancarkan penganjuran liga itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, berkata liga sosial seperti itu bukan sekadar platform mengejar kemenangan atau ganjaran berbentuk wang.
Sebaliknya, beliau berkata liga itu turut menjadi medium penting ke arah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
“Objektif utama penganjuran adalah untuk menyatukan golongan belia, membina semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat,” katanya berucap pada majlis itu, di sini.
Tegasnya, kemenangan dalam pertandingan hanyalah bonus, sebaliknya nilai sebenar terletak kepada perpaduan dan kebersamaan yang terjalin sepanjang penganjuran liga.
Dalam masa sama, beliau menyatakan komitmennya untuk terus menyokong lebih banyak program berteraskan pembangunan belia pada masa akan datang.
“Sebagai pemimpin muda, saya sangat menyokong program seumpama ini, selari dengan usaha melahirkan generasi yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.
Katanya, sambutan menggalakkan bagi edisi pertama KKN24 Social League 2026 memberi isyarat positif untuk penganjuran diteruskan sebagai platform tahunan bagi komuniti setempat.
Pasukan yang dinobatkan sebagai johan dalam liga sosial itu bakal menerima sebuah piala dan pingat, manakala naib johan serta tempat ketiga masing-masing menerima pingat. – Info X