Search

Pemandu lori maut kenderaan bawa batu terbalik, terbakar

April 5, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan membawa muatan batu yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dan terbakar di Jalan Ulu Kukut, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.

Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan ketika kejadian sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

Kebakaran membabitkan lori berkenaan dipercayai berlaku selepas kenderaan itu terbabas sendiri lalu terbalik di tepi jalan sebelum api marak.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi.

Keadaan lori dipandu mangsa yang terbabas dan terbakar dalam kejadian di Jalan Ulu Kukut, Kota Belud.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 12.10 tengah hari dan menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) serta satu tong buih (foam).

“Mangsa pemandu lori disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 12.50 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.17 petang.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X