Search

Subsidi diesel bantu rakyat Sabah – Jamawi

April 5, 2026

Info X Reporters

TENOM: Pengekalan subsidi diesel yang membolehkan harga bahan api itu kekal rendah di Sabah dan Sarawak penting sejajar keperluannya kepada rakyat di kedua-dua negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata bahan api itu adalah satu keperluan penting berikutan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi berbanding di Semenanjung.

Katanya, kenderaan diesel terutama pacuan empat roda masih menjadi pengangkutan utama untuk pelbagai urusan di Sabah disebabkan faktor geografi, jarak jauh dan keadaan jalan raya yang mencabar.

Atas sebab itu, katanya pengekalan subsidi itu adalah bantuan yang sangat penting kepada rakyat negeri ini.

“Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.

“Kita memahami kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel, khususnya kenderaan pacuan empat roda, disebabkan faktor geografi, jarak antara pekan yang jauh serta keadaan jalan raya yang belum setara dengan di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, Jamawi yang juga ADUN Melalap berharap masyarakat di Semenanjung dapat memahami keperluan berbeza di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Jamawi menasihatkan rakyat negeri ini supaya memanfaatkan subsidi bahan api dengan bijak dan tidak melakukan pembaziran.

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang berusaha membantu petani kecil yang belum menerima subsidi bahan api.

“Kita telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mereka ini dapat didaftarkan dan turut menikmati subsidi bahan api bagi kegunaan sektor pertanian, perikanan dan penternakan,” katanya.

Selain itu, Jamawi berkata petani di Sabah turut berdepan kenaikan harga baja berikutan faktor global termasuk sekatan eksport oleh negara pengeluar.

“Kebanyakan baja dihasilkan daripada petroleum dan kita juga berdepan isu pemberhentian eksport dari China, yang sedikit sebanyak menjejaskan bekalan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan petani beralih kepada penggunaan baja kompos sebagai alternatif lebih mampan.

“Penggunaan baja kompos bukan saja dapat mengurangkan kos, malah membantu meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan kementeriannya akan terus berunding dengan pihak berkaitan bagi memastikan bekalan baja mencukupi dan dapat diagihkan secara teratur.

Jamawi turut menggesa masyarakat agar sentiasa berhubung dengan pegawai pertanian, veterinar dan perikanan di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat.

“Kita mempunyai pegawai di lapangan yang sentiasa bersedia membantu menyelesaikan isu yang dihadapi petani dan pengusaha,” katanya.

Kira-kira 8,000 penduduk pelbagai kauk dan agama sekitar Tenom, Kemabong dan Melalap memeriahkan majlis rumah terbuka Jamawi yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah. – Info X