LAHAD DATU: Kegiatan mengisi minyak diesel tanpa permit terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas kira-kira 1,000 liter bahan api itu dalam Ops Tiris 4.0, hari ini.
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an turut ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyelewengan bahan kawalan berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Lahad Datu, Azizul Amran berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 serta memantau aktiviti di stesen minyak sekitar daerah itu.

Katanya, ketika pemeriksaan di sebuah stesen minyak, pihaknya mengesan dua suspek sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di atas dua kenderaan pacuan empat roda.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian diesel tersebut.
“Susulan itu, kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk diesel dan kenderaan adalah sebanyak RM117,150,” katanya.
Azizul berkata, KPDN akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan di daerah ini.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini melalui saluran rasmi KPDN,” katanya. – Info X