Search

Pemandu lori tercampak sebelum maut, kenderaan bawa batu terbakar

April 5, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Pemandu lori yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Belud – Kota Marudu, dekat Ulu Kukut, di sini, tengah hari tadi dipercayai tercampak keluar sebelum kenderaan dipandunya terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.38 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu lori rigid 10 tan membawa muatan batu dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke kiri bahu jalan lalu terbalik dan terbakar.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan masuk ke dalam parit sebelum lori terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X