Search

MPV hilang kawalan rempuh pam minyak

April 5, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Tular di media sosial kejadian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh pam minyak di sebuah stesen Petron, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, MPV jenis Toyota Avanza dipandu lelaki warga emas berusia 73 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pam minyak nombor 10 dan 11.

Akibat pelanggaran itu, pam minyak terbabit rosak teruk selain turut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kenderaan MPV itu baru sahaja selesai mengisi minyak sebelum keluar dari kawasan stesen berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pam minyak sebelum melanggar bahagian belakang kiri sebuah Toyota Hilux yang berada di pam berkenaan.

“Akibat kejadian itu, pemandu MPV mengalami pening kepala dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kejadian berkenaan hanya melibatkan kerosakan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di kawasan stesen minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X