KOTA KINABALU: Program mendekati keluarga pelajar tercicir pembelajaran perlu diperluaskan bagi memastikan tiada lagi kes pelajar tidak hadir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah.
Langkah itu dilihat sebagai pendekatan terbaik perlu dilaksanakan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menerusi kerjasama Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS).
Pengerusi PIBKS Sabah, Datuk Mohd Arif Tun Sakaran, berkata pihaknya berperanan sebagai penghubung untuk mendekati keluarga pelajar tercicir dan menasihatkan mereka supaya tetap hadir ke sekolah untuk menduduki SPM.
Katanya, pihak sekolah dan PPD mempunyai data lengkap mengenai pelajar yang tercicir berdasarkan rekod kehadiran mereka dan ia dijadikan rujukan untuk mendekati pelajar berisiko tidak hadir menduduki SPM.
“Maklumat pelajar berisiko tidak menduduki peperiksaan SPM diperoleh melalui data kehadiran sekolah yang membolehkan kita mengenal pasti lebih awal pelajar terbabit dan melaksanakan langkah awal mendekati mereka bagi memastikan mereka hadir menduduki SPM.
“Pendekatan bersemuka bersama ibu bapa ini menjadi antara strategi utama bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan menduduki SPM serta tanggungjawab memastikan anak-anak kekal berada dalam sistem persekolahan.
“PIBKS berperanan sebagai jambatan antara pihak sekolah dan komuniti. Kita turun bersama JPN dan PPD untuk bertemu ibu bapa serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi pelajar,” katanya ditemui pada Majlis Aidilfitri Rumah di kediamannya di Likas, pada Ahad.
Beliau berkata, pembabitan PIBKS memudahkan usaha mendekati ibu bapa kerana elemen komuniti menjadikan perbincangan lebih terbuka dan mesra.
“Apabila komuniti sendiri terlibat, ibu bapa lebih selesa untuk berbincang. Kita bukan sekadar menasihati tetapi bersama-sama mencari jalan supaya anak mereka dapat terus belajar dan menduduki SPM,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin menyatakan sasaran pihaknya untuk mengurangkan jumlah calon SPM tidak hadir peperiksaan kepada dua digit pada tahun ini berbanding 699 orang calon yang direkodkan tidak hadir di Sabah pada 2025.
Katanya, sasaran itu adalah komitmen bersama pelbagai pihak termasuk PPD, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri. – Info X