Search

Semakan kelayakan 40 peratus Sabah ditangguh

April 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara perintah Mahkamah Tinggi berhubung pelaksanaan semakan kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Memetik laporan Berita Harian, permohonan itu dibenarkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan selepas mendapati Kerajaan Persekutuan akan diprejudiskan jika penangguhan berkenaan tidak diberikan.

Prosiding rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun lalu itu berlangsung di Putrajaya pada Isnin.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Sabah melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh 180 hari susulan semakan kehakiman difailkan Sabah Law Society (SLS). – Info X