Search

Perjalanan pulang makan tengah hari bertukar tragedi

April 6, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Perjalanan pulang pasangan suami isteri untuk makan tengah hari bertukar tragedi apabila lelaki berusia 47 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Felda Umas 2, Merotai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama isterinya berusia 40 tahun.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal Honda Vario yang ditunggang lelaki berusia 27 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas mengelak bonggol sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua penunggang mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penunggang Honda Vario kini dirawat di Wad Ortopedik, manakala mangsa dirawat di Zon Merah sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang.

Beliau berkata, pembonceng yang juga isteri mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil semakan mendapati mangsa bukan warganegara Malaysia, tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memperlahankan kenderaan terutama di laluan yang rosak atau mempunyai bonggol.

“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa memakai topi keledar demi keselamatan diri,” katanya. – Info X