KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pendidikan di Sabah sempena kunjungan hormat delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), pada Isnin.
Taklimat diketuai Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu.
Raisin antara lain menyampaikan taklimat mengenai program utama pada tahun ini dan perancangan tahun depan, termasuk perkembangan serta pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar negeri ini.
Hajiji dalam pada itu menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pendidikan, khususnya dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkasa pengurusan sekolah dan memastikan pembangunan holistik murid dan pelajar di seluruh Sabah.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dan berterusan di antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Sabah bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh.
“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Delegasi Jabatan Pendidikan Negeri turut disertai Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Indang Kasi Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Krishna KS @ Mohd Fadzli Abd Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Muddin Beting dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Salleh Linggam. – Info X