TAWAU: Sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Titingan, di sini, membawa kepada penemuan kenderaan yang dilaporkan hilang, semalam.
Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, sepasukan anggota Strike Team Balai Polis Tawau yang menjalankan rondaan cegah jenayah terserempak dengan lori jenis Isuzu berkenaan sebelum membuat pemerhatian di lokasi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lori itu dilihat ditinggalkan tanpa pemandu dan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan polis kemudian membuat pemerhatian selama kira-kira satu jam bagi mengesan mana-mana individu yang datang menghampiri kenderaan itu, namun tiada sesiapa tampil.
“Pemeriksaan lanjut menemui satu alat kawalan jauh bertulis Isuzu bersama anak kunci yang diletakkan di dalam lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati laporan kehilangan lori itu telah dibuat sebelum ini di Balai Polis Tawau.
Katanya, lori berkenaan bersama alat kawalan jauh kemudian dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan diparkir di tempat selamat serta mengambil langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian kecurian. – Info X