Search

Op Hazard: 8 tan bateri kereta, e-waste tanpa lesen disita, nilai rampasan RM720,998

April 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kegiatan menyimpan bateri kereta dan sisa elektronik (e-waste) secara haram terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyerbu premis terbabit menerusi Op Hazard, semalam.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak di seluruh negara itu, dua lokasi di Sabah iaitu di Penampang dan Sandakan diserbu selepas dipercayai dijadikan pusat penyimpanan barang lusuh serta e-waste tanpa lesen sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil serbuan di Penampang, pihaknya merampas kira-kira lapan tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah.

Bateri kereta yang disimpan secara tidak sah dirampas dalam Op Hazard di Penampang.

“Di Sandakan pula, pelbagai barangan e-waste turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh serta barangan elektrik lain.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan oleh LHDN juga mendapati terdapat premis yang tidak dapat mengemukakan dokumen percukaian yang lengkap.

“Kes kemudian diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 serta Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM720,998,” katanya.

Kakitangan JAS melakukan pemeriksaan di sebuah premis menyimpan barang lusuh serta e-waste di Sandakan.

Ahmad berkata, pihaknya akan terus komited membanteras sebarang aktiviti haram yang boleh mencemarkan alam sekitar serta menyebabkan ketirisan hasil negara.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara,” katanya. – Info X