KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Asasi Sains Sosial (Aliran Pengajian Islam) bagi sesi pengambilan baharu program itu.
Fakulti Pengajian Islam UMS dalam satu kenyataan pada Isnin, berkata permohonan kini dibuka secara manual bagi membolehkan calon yang berkelayakan memulakan langkah akademik dalam bidang pengajian agama di peringkat asasi.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa program asasi adalah laluan khusus bagi pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam tiga bidang utama yang ditawarkan di UMS.
“Bidang terbabit ialah Ijazah Sarjana Muda Syariah, Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam.
“Sehubungan itu, ibu bapa yang mempunyai anak lepasan SPM dipelawa untuk memanfaatkan peluang ini bagi memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak dalam bidang pengajian Islam yang diiktiraf,” katanya.
Bagi calon yang berminat, permohonan boleh dilakukan dengan mengisi borang secara dalam talian melalui pautan rasmi di https://forms.gle/TVsxbP6kDBEcA7Fi6.
Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berkaitan proses kemasukan boleh dirujuk terus kepada Penyelaras Program Asasi, Dr Mohd Jainudin Peran di talian 013-890 6246 atau e-mel rasmi di [email protected]. – Info X