TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 570 keping sisik penyu.
Tertuduh, Khalid Janullah, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan dilakukan kira-kira jam 9.05 pagi pada 15 November 2025 di sebuah premis di Bandar Semporna, Jalan Datu Jakarullah.
Dia didapati memiliki 570 keping sisik penyu daripada spesies Eretmochelys imbricata yang merupakan haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah subseksyen 41(1) enakmen berkenaan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 41(4) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, peruntukan berkenaan membawa hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap tertuduh.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X