Search

Isu 40 peratus: Kerajaan Pusat perlu tunai janji – Aliakbar

April 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PAS Sabah menyatakan pendirian tegas mahu Kerajaan Persekutuan menunaikan janji untuk melunaskan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata perkembangan semasa berkaitan isu itu yang menyaksikan perintah Mahkamah Tinggi ditangguhkan setelah Kerajaan Persekutuan memohon penangguhan dan dibenarkan Mahkamah Rayuan, sesuatu yang amat dikesali.

Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan itu menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam menghormati hak Sabah.

“Pada November 2025, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan secara jelas dan terbuka bahawa mereka tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menyentuh hak Sabah untuk semakan semula pembayaran hasil negeri.

“Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan bersedia menghormati keputusan mahkamah dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih adil terhadap hak negeri Sabah.

“Namun, perkembangan pada April 2026 menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah undang-undang untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, walaupun tindakan itu mengikut prosedur perundangan, namun kesannya tetap jelas, yang mana pelaksanaan keputusan yang sepatutnya berpotensi memberi manfaat kepada rakyat Sabah telah ditangguhkan.

“Dalam konteks ini, PAS Sabah melihat wujudnya jurang di antara komitmen awal yang disampaikan kepada rakyat dan tindakan susulan yang diambil,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai itu berkata, keadaan berkenaan menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku keadaan ‘cakap tidak serupa bikin’ dalam pengurusan isu hak Sabah.

“Rakyat Sabah berhak untuk mendapatkan penjelasan yang telus, apakah pendirian sebenar Kerajaan Persekutuan terhadap isu ini, adakah benar komited untuk menunaikan hak Sabah atau sebaliknya?

“PAS Sabah ingin menegaskan bahawa isu 40 peratus hasil Sabah ini bukan sekadar perdebatan teknikal undang-undang atau angka fiskal semata-mata.

“Ia menyentuh prinsip keadilan di antara persekutuan dan negeri serta amanah dalam mengurus hak yang telah termaktub dalam kerangka perlembagaan,” katanya.

Justeru, katanya PAS Sabah mahu beberapa perkara dilaksanakan, termasuk perlunya Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan yang konsisten dan menyeluruh kepada rakyat negeri ini mengenai hala tuju sebenar isu berkenaan.

Katanya, sebarang tindakan undang-undang yang diambil tidak menjejaskan prinsip asas keadilan terhadap hak Sabah.

Selain itu, katanya rundingan yang lebih telus dan berasaskan kepercayaan perlu dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang mampan.

PAS Sabah, jelasnya akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif, memastikan setiap dasar dan tindakan kerajaan sentiasa berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab kepada rakyat.

“Isu ini menuntut kejelasan, bukan kekeliruan, rakyat Sabah tidak sekadar menilai apa yang dijanjikan, sebaliknya turut menilai bukti daripada janji yang sudah ditunaikan,” katanya. – Info X