KOTA BELUD: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, dilaporkan hilang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira jam 5.42 petang.
Pemangku Ketua BBP Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, operasi SAR segera dimulakan dengan pencarian di sekitar persisiran sungai bagi mengesan mangsa.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Operasi membabitkan sembilan anggota BBP Kota Belud dengan bantuan sebuah jentera FRT serta kenderaan pacuan empat roda.
Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X