Search

Remaja dipenjara selama diperkenan TYT kerana bunuh kekasih

April 9, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang remaja lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah membunuh kekasih yang juga rakan senegaranya di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, pada 2023.

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, memerintahkan tertuduh berusia 16 tahun itu menjalani hukuman penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Steve membuat keputusan itu selepas mahkamah meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tawau memandangkan tertuduh masih di bawah umur ketika kejadian.

Pada prosiding itu, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes berkenaan, sebelum mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 13 tahun ketika kejadian didakwa membunuh mangsa yang seumur dengannya, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min.

Ends