KOTA KINABALU: Tokoh wanita dari Telupid, Dr Mary Gambidau, diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 (UNK 2026), sekali gus mengetuai penganjuran acara kebudayaan ikonik negeri ini.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah memperkukuh lagi kedudukan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai platform penting dalam usaha memelihara dan mengangkat warisan budaya masyarakat, selain memperkasa peranan wanita muda sebagai pewaris tradisi.
Pada masa sama, Datuk Joanna Datuk Kitingan dilantik sebagai penasihat bagi membantu memberikan hala tuju strategik serta sokongan kepimpinan kepada jawatankuasa penganjur.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran, satu Jawatankuasa Induk dibentuk dengan Mandy Nandu sebagai Timbalan Pengerusi, Audrey Wilson Rantau (Setiausaha) dan Maureen J. Kananong (Bendahari), selain dibantu barisan ahli jawatankuasa berpengalaman.

Persiapan penganjuran telah dimulakan sejak Februari lalu dengan pelaksanaan beberapa pendekatan baharu termasuk penilaian awal finalis yang diselaraskan bersama Kadazandusun Cultural Association (KDCA) bagi meningkatkan ketelusan serta mutu pemilihan peserta.
Acara kemuncak dijadual berlangsung dari 26 hingga 31 Mei ini sempena Minggu Unduk Ngadau Kaamatan, melibatkan 52 finalis dari seluruh Sabah termasuk yang menetap di Semenanjung Malaysia.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai aktiviti kebudayaan, program rasmi serta sesi penilaian akan diadakan secara bersepadu bagi memperkukuh jati diri peserta.
Dalam pada itu, Hilton Kota Kinabalu dipilih sebagai hotel rasmi bagi penganjuran tahun ini.
UNK 2026 dijangka terus menjadi medan penting dalam memartabatkan warisan budaya negeri, di samping mengukuhkan identiti masyarakat Sabah serta memperluas pengiktirafan di peringkat lebih tinggi. – Info X