KUDAT: Kegiatan penyelewengan bahan api di perairan Sabah terus dibanteras apabila seorang lelaki tempatan dicekup bersama 800 liter minyak diesel dalam Operasi Bersepadu Inter Agensi (Op Tiris 4.0), di Pulau Banggi, semalam.
Operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat itu berjaya menahan suspek di kawasan jalan utama Karakit – Batu Layar.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab berwarna putih dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan empat tong drum berisi minyak diesel dengan anggaran kuantiti 800 liter.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan bahan api berkenaan sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
“Kenderaan serta minyak diesel terbabit turut disita dan dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya komited membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan khususnya bahan api yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif terutama di kawasan Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan bahan api,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin dan APMM atas kerjasama strategik dalam menjayakan operasi berkenaan.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. – Info X