Search

Mayat terbelit tali jangkar kapal ditemukan di pelabuhan

April 9, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbelit pada tali jangkar sebuah kapal di Pelabuhan Pasar Ikan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang memohon bantuan mengeluarkan mangsa.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 1.1 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.38 pagi dan mendapati mangsa terbelit pada tali jangkar kapal.

“Operasi dijalankan dengan memotong tali berkenaan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa turun dari kapal menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang turut dibantu tiga anggota polis itu tamat sepenuhnya pada jam 5.01 pagi,” katanya. ‘ Info X