Search

Lelaki ditahan bawa petrol tanpa dokumen

April 9, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan seorang lelaki membawa sejumlah besar minyak petrol tanpa dokumen sah terbongkar apabila dia ditahan dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring ESSZONE – Op Taring Bravo 1), di perairan daerah ini, hari ini.

Menerusi kenyataan media di Facebook Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, operasi dijalankan pasukan Komtak Mabul Kompeni A Batalion 22 PGA Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, hasil maklumat risikan.

Dalam operasi itu, anggota bertugas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang berada di atas bot berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, sebelum pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan 69 gelen berisi minyak petrol serta satu gelen mengandungi campuran petrol dan minyak 2T.

Suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kelulusan untuk menyimpan, memiliki atau membawa bahan berkenaan.

Lelaki itu kemudian ditahan bersama barang rampasan dan diserahkan kepada pihak KPDN Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM75,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pihak Batalion 22 PGA Kunak menegaskan komitmen untuk terus mempergiat risikan serta membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan ESSZONE, sekali gus memastikan perairan negara kekal selamat daripada ancaman dan aktiviti haram. – Info X