Search

RAKYAT SABAH LEBIH SUKA PARTI TEMPATAN TERAJUI KERAJAAN, KATA WARISAN

July 5, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan, Datuk Ahmad Sah Sahari berkata, ‘kecenderungan’ rakyat Sabah untuk memilih parti tempatan pada setiap kali pilihan antara faktor parti berkenaan mahu menjalinkan kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Katanya, sentimen berkenaan amat jelas kelihatan di Sabah dan kesedaran rakyat untuk memilih parti tempatan semakin meningkat.

“Ini ditunjukkan dengan jelas dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya menang 14 kerusi DUN
manakala Bersatu meraih 11 kerusi DUN, menjadikan 25 kerusi DUN yang dikuasai BN dan Bersatu atau hanya kira-kira satu pertiga daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah.

“Pada PRU 2018, BN yang berkuasa sejak 1994 hanya berjaya memenangi 27 kerusi DUN daripada jumlah keseluruhan 60 kerusi iaitu kurang daripada 50 peratus dan 27 kerusi yang dimenangi BN itu termasuklah beberapa kerusi yang dimenangi parti tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Upko dan STAR,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Sah berkata, Warisan menjangkakan trend sokongan yang kian berkurangan kepada parti politik luar akan berterusan kerana rakyat Sabah sudah semakin bijak dan berani membuat keputusan untuk
memastikan politik negeri itu kekal stabil dan dikuasai oleh parti parti politik tempatan yang berintegriti.

Setakat ini, katanya, Warisan telah beberapa kali menawarkan diri untuk menjalin kerjasama dengan PBS untuk menghadapi PRU15 yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

“Sama sama lah kita nantikan sama ada PBS bersetuju atau tidak untuk bekerjasama dengan Warisan.

“Ramai pemimpin dan penyokong akar umbi PBS dan Warisan amat bersetuju dengan jajaran politik baharu, PRN dan PRU akan datang bukan sekadar mahu berkuasa tetapi lebih ke arah memperbetulkan hala tuju negara selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pencabulan MA63 telah menggagalkan aspirasi penubuhan Persekutuan Malaysia. Sabah adalah wilayah yang terkaya di dalam Persekutuan Malaysia, tetapi menjadi negeri yang miskin kerana sistem pengagihan hak yang tidak dilakukan mengikut MA63,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan parti itu memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini, adalah bagi memudahkan parti itu membuat keputusan bertanding di seluruh kawasan, di negeri itu, pada pilihan raya akan datang.

Katanya, keputusan untuk ‘berpecah’ dengan PH juga dibuat kerana Warisan mendapati rakyat Sabah mahukan parti-parti tempatan memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri seterusnya mentadbir negeri ini.

Beliau berkata, kenyataan presiden parti itu Shafie Apdal yang mengatakan Warisan sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga telah disalah tafsir.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ketegasan Warisan untuk memutuskan kerjasama dengan PH bukanlah kerana tidak suka PH, keputusan ini adalah bagi memastikan agar Warisan lebih mudah membuat keputusan untuk bertanding di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seluruh kawasan parlimen di Sabah serta beberapa kawasan parlimen di semenanjung.

“Warisan mendapati rakyat Sabah mahukan parti-parti tempatan Sabah untuk memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri seterusnya mentadbir negeri ini,” katanya. – Info X