Search

MARITIM TAWAU RAMPAS 32 KILOGRAM SYABU BERNILAI RM1.76 JUTA

July 5, 2022

admin

TAWAU: Lebih 32 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.76 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam siri operasi di perairan Inderasabah, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan
mencurigakan bergerak dalam keadaan gelap sewaktu melaksanaka rondaan Ops Sejahtera, kira-kira jam 11.30 malam.

“Bagaimanapun, bot terbabit bertindak memecut laju untuk melarikan diri menuju ke arah muara Sungai Inderasabah ketika cuba dihampiri pasukan operasi.

“Semasa kejadian mengejar suspek, juragan bot dilihat bertindak membuang suatu bungkusan yang tidak dapat dipastikan berikutan keadaan gelap dan jarak penglihatan terhad.

“Usaha menghentikan bot dan suspek gagal apabila tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan paya bakau dan perairan cetek sebelum meloloskan diri.

“Pencarian di lokasi bungkusan terbabit dibuang berhasil menemukan sebuah beg dalam keadaan terapung dan pemeriksaan lanjut ke atas kandungan beg berkenaan menemukan 32 paket bungkusan dengan label teh cina ‘Guan Ying Wang’ yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu paket dengan jumlah keseluruhan lebih 32 kilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizan menyatakan
semua hasil rampasan seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tawau bagi tindakan selanjutnya.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM1.76 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X