Search

CADANGAN KERJA EMPAT HARI SEMINGGU MASIH DALAM KAJIAN, KATA JPA

July 5, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, cadangan waktu bekerja empat hari seminggu bagi kakitangan awam kini baru di peringkat penelitian dan kajian.

Katanya, cadangan berkenaan perlu dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan itu.

“JPA mengambil maklum akan pandangan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) dan pelbagai pihak berhubung cadangan waktu bekerja empat hari seminggu yang telah disiarkan melalui media baru-baru ini.

“Walaupun beberapa buah negara kini sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan, namun JPA berpandangan bahawa pendekatan ini hendaklah dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shafiq berkata, JPA juga amat mengambil peduli akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara.

Katanya, JPA akan sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat. – Info X