KOTA KINABALU: Syarikat minyak dan gas tempatan, Hibiscus Petroleum Berhad menegaskan komitmennya dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga serta pertumbuhan mampan, meskipun berdepan ketidaktentuan landskap tenaga global ketika ini.
Pengerusinya Zainul Rahim Mohd Zain berkata, faktor geopolitik dunia termasuk konflik di Timur Tengah serta gangguan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang menjejaskan lebih 20 peratus aliran minyak dan gas global, memberi kesan besar kepada pasaran tenaga, khususnya di Asia yang menerima sebahagian besar bekalan tersebut.
Menurut beliau, keadaan itu menjadikan isu keselamatan tenaga semakin kritikal, namun syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran berkenaan serta memanfaatkan harga minyak yang masih menggalakkan.
“Walaupun prestasi jangka pendek kekal positif, impak jangka sederhana dan panjang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya. Justeru, kami akan terus beroperasi secara berdisiplin dan bertanggungjawab bagi memastikan nilai mampan kepada semua pemegang taruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri syarikat itu di sini, baru-baru ini yang turut dihadiri kakitangan serta rakan strategik di Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun.
Mengulas prestasi kewangan, Hibiscus Petroleum mencatatkan hasil kira-kira RM2.3 bilion bagi tahun kewangan 2025, sekali gus meneruskan pencapaian melepasi paras RM2 bilion.
Syarikat turut merekodkan EBITDA berjumlah RM1.01 bilion dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM117 juta.
Selain prestasi kewangan kukuh, syarikat itu turut meraih pelbagai pengiktirafan termasuk tersenarai dalam Fortune Southeast Asia 500 selama dua tahun berturut-turut serta disenaraikan dalam Forbes Asia “Best Under A Billion 2025”.
Dalam konteks Sabah, Hibiscus Petroleum menzahirkan penghargaan terhadap peranan negeri ini dalam menyokong operasi dan inisiatif syarikat, khususnya menerusi pelaksanaan pelbagai program komuniti.
Antaranya termasuk program keselamatan dan pemakanan untuk pelajar sekolah, kempen pemuliharaan bakau serta inisiatif kesihatan seperti saringan Human Papillomavirus (HPV), yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Sabah kekal sebagai antara lokasi penting dalam operasi kami dan kami berbangga dapat menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui program pendidikan, alam sekitar dan kesihatan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan keselamatan dalam setiap operasi syarikat, selain menghargai dedikasi warga kerja yang menjadi pemacu utama kejayaan syarikat.
Hibiscus Petroleum juga optimis terhadap fasa pertumbuhan seterusnya menerusi pelan dikenali sebagai “Hibiscus 3.0”, yang memberi fokus kepada pengembangan perniagaan dan kelestarian jangka panjang.
Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan antara kakitangan dan rakan strategik, malah mencerminkan semangat kebersamaan serta penghargaan syarikat terhadap sokongan berterusan semua pihak, khususnya di Sabah. – Info X