Search

Pemborong gagal keluarkan stok, disyaki sembunyi punca beras kurang – Jamawi

April 10, 2026

Info X Reporters

TELUPID: Kekurangan beras yang berlaku di Sabah ketika ini sebahagiannya berpunca daripada kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang sudah dibeli, selain ada disyaki cuba menyembunyikan barang kawalan itu.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata kira-kira 3,000 tan metrik beras yang sudah dibayar masih tersadai di stor BERNAS kerana tidak diambil oleh pemborong.

“Saya minta mereka menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan beras yang telah ditempah. Saya tidak mahu perkara ini menjadi satu bentuk sabotaj oleh pemborong untuk menaikkan harga.

“Sebenarnya tiada kenaikan harga kerana subsidi masih kekal,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat kawasan baharu penanaman padi di Trusan Sapi, dekat sini pada Khamis.

Sebagai tindakan susulan, beliau meminta langkah drastik dilakukan dengan meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik pada bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan isu pembelian panik di negeri ini.

Dalam masa sama, beliau berkata kementeriannya turut melaksanakan audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeludup bekalan beras subsidi.

Jelasnya, tindakan itu diambil berikutan gangguan bekalan yang menjejaskan rakyat dan kegagalan beberapa pemborong hadir dalam sesi soal siasat.

Tegasnya, mana-mana pemilik lesen yang didapati bersalah bakal berdepan tindakan tegas.

“Ada pemborong yang kita syak terlibat, sebab itu audit dijalankan bagi mendapatkan bukti. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara.

“Kita akan kuatkuasakan tanpa kompromi kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit beras bagi setiap individu sebagai langkah mengawal bekalan.

Jamawi menegaskan, kerajaan komited memastikan stok simpanan beras negeri sentiasa mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi Kerajaan, terutama ketika harga beras di negara jiran meningkat akibat krisis global.

Katanya, langkah penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di seluruh Sabah. – Info X