TAWAU: Seorang guru pelatih wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Bandar Sri Indah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.26 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun yang memandu Perodua Kenari dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas ke tepi jalan.
Ketika kejadian, mangsa berjaya dikeluarkan lebih awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM akibat kecederaan yang dialami.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.26 tengah hari sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri ke tepi jalan.
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 petang,” katanya. – Info X