Search

55 PATI ditahan, JIM Sabah perketat operasi sekitar KK

April 10, 2026

Info X Reporters


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat operasi penguatkuasaan apabila menahan seramai 55 warga asing dalam beberapa siri operasi berasingan di sekitar bandar raya ini.


Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi jabatan itu, operasi membabitkan Ops Gegar, Ops Selera, Ops Kutip dan Ops Sapu dijalankan secara bersepadu dengan menyasarkan lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI).


Dalam Ops Gegar, seramai 114 individu diperiksa dengan 22 warga Filipina ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, membabitkan 12 lelaki dewasa dan 10 perempuan dewasa.


Sementara itu, Ops Selera dan Ops Kutip menyaksikan pemeriksaan ke atas 120 individu dengan 11 warga Filipina ditahan, terdiri daripada dua lelaki dewasa dan sembilan perempuan dewasa.


Dalam Ops Sapu pula, seramai 49 individu diperiksa dengan 22 warga asing ditahan membabitkan dua lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa serta 13 kanak-kanak, termasuk enam lelaki dan tujuh perempuan.


Secara keseluruhan, sebanyak 283 individu diperiksa dalam semua operasi berkenaan dengan jumlah tangkapan seramai 55 warga asing.


Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.


JIM Sabah menegaskan, pihaknya akan terus memperketat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.