Search

Tiada kenderaan, kereta orang jadi sasaran

April 12, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Tindakan dua lelaki mencuri kereta dengan alasan mahu dijadikan kenderaan kegunaan harian akhirnya membawa padah apabila mereka dicekup polis dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam kejadian jam 5.15 petang semalam di Kampung Bulu Silou, di sini sebuah Proton Iswara Aeroback berwarna coklat dilaporkan hilang ketika enjin kenderaan itu dipanaskan di tepi rumah pemiliknya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, susulan laporan diterima, pihaknya menjalankan operasi mengesan suspek.

Katanya, usaha itu membawa kepada penahanan dua lelaki di sebuah stesen minyak di Sook, kira-kira jam 2 petang tadi.

“Dua suspek yang ditahan ialah lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun. Hasil siasatan awal mendapati suspek utama mengaku mencuri kenderaan terbabit kerana tidak mempunyai kenderaan untuk kegunaan harian.

“Suspek kedua pula bertindak sebagai penumpang dan dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dua lelaki yang ditahan di sebuah stesen minyak di Sook, Keningau, kira-kira jam 2 petang tadi.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek utama mempunyai lima rekod kes narkotik dan dua kes jenayah, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod kes narkotik.

“Kenderaan yang dicuri itu dianggarkan bernilai kira-kira RM5,000 dan berjaya ditemui semula hasil tangkapan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut, manakala ujian saringan air kencing akan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Info X