Search

Mangsa kedua kemalangan lima kenderaan meninggal dunia

April 12, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lagi mangsa kemalangan lima kenderaan di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, disahkan meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini dua orang.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, semalam di Kilometer 14 jalan berkenaan, kemalangan membabitkan dua kereta, sebuah lori, sebuah motosikal dan sebuah jentera berat jenis Hitachi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Saga dipandu wanita berusia 21 tahun dari arah Tawau ke Lahad Datu hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah lori jenis Nissan Rigid-Dumper dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 32 tahun serta sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, impak kemalangan turut menyebabkan lori dan Perodua Alza terbabit terjatuh ke gaung di sebelah kiri jalan.

“Malah, Perodua Alza itu turut melanggar sebuah jentera Hitachi yang berada di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Saga wanita berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang hadapan wanita berusia 35 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.

Katanya, semua penumpang lain serta penunggang motosikal dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori dan Perodua Alza dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X