KENINGAU: Kehadiran seekor anak Beruang Madu di Kampung Bariawa Laut, di sini, pagi tadi mengejutkan penduduk apabila haiwan itu ditemui memanjat pokok kelapa di kawasan kampung.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, haiwan berstatus terancam yang kebiasaannya mendiami hutan tebal berkenaan dipercayai ‘tersesat’ sebelum disedari orang awam.
Susulan itu, penduduk kampung bertindak pantas dan berani apabila berjaya menangkap anak beruang itu sebelum ketibaan pihak bomba.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang diketuai Penyelia Operasi, PBK II Selverinus Sixtus Geoffrey kemudian digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba mengambil alih situasi dengan memindahkan haiwan berkenaan ke dalam sangkar khas dengan selamat sebelum dibawa ke balai,” katanya.
Katanya lagi, pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) turut dihubungi bagi tindakan lanjut termasuk proses serahan dan pemuliharaan haiwan berkenaan.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 9.10 pagi.

Beruang madu merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang aktiviti memburu, menangkap atau memiliki haiwan ini secara haram adalah satu kesalahan serius.
Sementara itu, kejadian berkenaan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai punca haiwan liar itu boleh memasuki kawasan kampung.
Selain kemungkinan kehilangan habitat, pemerhatian awal mendapati tingkah laku anak beruang itu agak tenang dan jinak, sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada ia pernah terdedah dengan manusia sebelum ini.
Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika berdepan situasi sama, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko. – Info X