LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 8, Jalan Silam, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang sebelum sepasukan 11 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori, jentera pengorek (excavator), dua kereta iaitu Perodua Alza dan Proton Saga FLX serta sebuah motosikal.

“Sebaik tiba pada jam 5.16 petang, pasukan mendapati kemalangan membabitkan kenderaan dari dua arah bertentangan, manakala excavator berada di kawasan pembinaan Projek Pan Borneo.
“Proton Saga FLX dinaiki enam mangsa, namun empat daripadanya termasuk seorang lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak sudah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa wanita dewasa ditemui di lokasi, dengan seorang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke hospital.

Katanya, tiga lelaki yang menaiki Perodua Alza serta pemandu excavator dilaporkan selamat.
“Pemandu lori dan penunggang motosikal turut dibawa ke hospital lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Operasi tertumpu kepada penstabilan mangsa dan kenderaan serta memastikan keadaan selamat di lokasi dengan kerjasama polis dan KKM sebelum ditamatkan pada jam 6.29 petang,” katanya. – Info X