KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) terus memperkukuh peranan sosialnya apabila melaksanakan Program Khidmat Budi dengan mengunjungi Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (OKU) Sembulan serta Pusat Autism Sabah (PAUS), hari ini.
Inisiatif berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menyaksikan ECoS menyampaikan sumbangan berupa peralatan keperluan harian bagi menyokong operasi kedua-dua pusat berkenaan, sekali gus memudahkan aktiviti pembelajaran dan penjagaan kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya itu dalam membantu golongan memerlukan, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas.
“ECoS bukan sahaja berperanan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga di Sabah, tetapi turut komited menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi keselesaan serta membantu tenaga pengajar melaksanakan sesi pembelajaran dan penjagaan dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Raya bersama kanak-kanak dan warga pendidik di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan.
Turut hadir, Anggota Suruhanjaya ECoS, Datuk Tpr. Alijus Sipil, yang menyatakan sokongan terhadap usaha kebajikan serta penglibatan komuniti oleh agensi berkenaan.
Sementara itu, Penguasa Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan, Mary Sipaji, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan ditunjukkan ECoS dalam membantu meningkatkan kemudahan serta persekitaran pembelajaran di pusat itu.
“Sumbangan ini amat bermakna dalam usaha kami menyediakan suasana yang lebih selesa dan kondusif untuk kanak-kanak serta tenaga pengajar.
“Kami berharap lebih banyak pihak tampil menyokong usaha kebajikan seperti ini, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai keperluan kanak-kanak OKU dan autisme,” katanya.
Program Khidmat Budi ECoS merupakan antara inisiatif berterusan suruhanjaya itu dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat, selain menyemai nilai keprihatinan sosial dalam kalangan warganya. – Info X