Search

Rakam CCTV dedah penyelia curi duit rakan

April 14, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang penyelia bengkel yang dipercayai ‘mengambil kesempatan’ mencuri wang rakan sekerja akhirnya terbongkar selepas perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kilang di Jalan Apas, di sini.

Dalam kejadian Ahad lalu, suspek lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai memasuki pejabat mangsa walaupun premis tidak beroperasi pada hujung minggu sebelum mengambil wang tunai yang disimpan di dalam laci meja.

Mangsa wanita berusia 33 tahun hanya menyedari kehilangan wang berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi semalam sebelum tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil semakan rakaman CCTV berjaya membantu polis mengenal pasti suspek.

“Suspek yang juga penyelia bengkel di syarikat berkenaan dipercayai mengambil wang milik mangsa tanpa kebenaran ketika pejabat tidak beroperasi.

“Hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya ditahan di kawasan kilang sama kira-kira jam 10.30 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek memasuki pejabat mangsa kira-kira jam 11.25 pagi Ahad sebelum melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan, khususnya di tempat kerja.

“Perbuatan seperti ini bukan sahaja mengkhianati amanah, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara,” tegasnya. – Info X