KOTA KINABALU: Seramai 2,000 peminat bola sepak dan penyokong Sabah FC berpeluang mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala Cabaran menentang Penang FC di Stadium Likas, pada 19 April ini.
Jika menang, pasukan Sabah FC turut dijanjikan bonus atas kejayaan yang dicapai setelah sekian lama berdepan kemarau piala kejuaraan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sebanyak 2,000 tiket percuma disediakan kerajaan negeri menerusi kementeriannya secara ‘first come, first serve’ oleh urusetia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini.
Inisiatif itu, katanya sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada Sabah FC dan memastikan Stadium Likas dipenuhi penyokong.
“Saya menyeru penyokong agar turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.
Nizam berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir itu sebagai tanda komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menimbangkan pemberian bonus kepada pasukan Sabah FC sekiranya berjaya muncul juara pada perlawanan itu nanti.
“Jika Sabah FC menang, kita akan sediakan bonus kemenangan sebagai penghargaan kepada pasukan,” katanya.
Mengulas peluang Sabah FC, Nizam berkata Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila berjaya mara ke pentas akhir Piala Cabaran 2026.
Pencapaian itu, katanya detik yang amat dinantikan seluruh peminat bola sepak negeri selepas sekian lama Sabah tidak menjulang sebarang trofi dalam saingan liga tempatan.
“Kita berharap agar Sabah dapat menjadi juara MFL Challenge Cup ini untuk edisi tahun 2026 ini.
“Sekiranya kita dapat menang, maknanya kita telah memecahkan kemarau piala bola sepak Malaysia kerana sudah terlalu lama kita tidak memiliki apa-apa piala di dalam Liga Bola Sepak Malaysia itu atau MFL,” katanya.
Pada 4 April lalu, Sabah berjaya mengikat Penang FC 1-1 ketika aksi pertama perlawanan akhir Piala Cabaran 2026 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Keputusan itu meletakkan kedua-dua pasukan di kedudukan seimbang untuk bergelar juara, namun Sabah dilihat memiliki kelebihan sebagai tuan rumah pada perlawanan kedua nanti. – Info X