Search

25 finalis UNK mara ke pusingan kedua, semua 52 peserta layak ke pentas akhir

April 14, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026 menjelaskan bahawa kesemua 52 finalis pertandingan itu akan tetap mengambil bahagian dalam Pertandingan Akhir yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei depan.

Penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan susulan kenyataan berkaitan format penilaian pertandingan berkenaan sempena Pesta Kaamatan tahun ini.

Menurut kenyataan rasmi jawatankuasa itu hari ini, penilaian awal finalis akan dilaksanakan sepanjang Minggu UNK bermula 26 hingga 30 Mei 2026, sebelum kemuncak pertandingan akhir.

“Pada tahun ini, seramai 25 finalis akan dipilih untuk mara ke pusingan kedua, berbanding hanya 15 peserta pada tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah itu, tujuh finalis terbaik akan dipilih untuk mara ke pusingan akhir,” menurut kenyataan berkenaan.

Jawatankuasa itu memaklumkan, pendekatan baharu berkenaan diperkenalkan bagi memberi peluang lebih luas kepada peserta menonjolkan potensi masing-masing, khususnya di peringkat saringan kedua.

Katanya, setiap peserta akan dinilai secara menyeluruh merangkumi pelbagai aspek bermula dari minggu penilaian awal sehingga ke pentas akhir pertandingan.

Terdahulu, perkara itu dirujuk susulan kenyataan Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Pesta Kaamatan 2026.

Jawatankuasa berkenaan menegaskan segala proses penilaian dilaksanakan secara telus dan teratur bagi memastikan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan terus relevan sebagai acara kemuncak sambutan Kaamatan di Sabah. – Info X