Search

Dua kes petrol disyaki diseleweng di Semporna, lebih 1,300 liter dirampas

April 16, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Lebih 1,300 liter minyak petrol disyaki cuba diseleweng dirampas dalam dua kes berasingan di sini, pada 15 April lalu.

Rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM55,000 hasil tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh beberapa agensi sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna.

Dalam kes pertama, tangkapan dilakukan oleh Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak di kawasan Jeti Kayu, Jalan Kastam, membabitkan seorang individu bersama rampasan bot laju, enjin sangkut serta 175 liter minyak disyaki petrol.

Nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan sebanyak RM50,747.25.

Sementara itu, kes kedua melibatkan rampasan tanpa tuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di sebuah rumah atas air di Kampung Srijaya.

Rampasan berkenaan membabitkan 1,175 liter minyak disyaki petrol dengan nilai anggaran RM5,017.25.

KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras penyelewengan barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X