Search

RM437.9 juta untuk pembangunan modal insan tahun ini – Hajiji

April 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM437.93 juta bagi memperkasa dan membangunkan modal insan yang merangkumi aspek akademik dan spiritual pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penyediaan peruntukan itu sejajar komitmen kerajaan negeri mengutamakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi untuk meningkatkan ekonomi Sabah.

“Ia adalah platform terbaik untuk membawa ekonomi Sabah beralih kepada aktiviti bernilai tinggi dan berorientasikan pengetahuan serta kemahiran.

“Ini termasuk memberi keutamaan kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta inovasi dan teknologi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Seramai 1,000 graduan dari Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen itu.

Sementara itu, Hajiji mengucapkan syabas kepada barisan pendidik kolej vokasional yang menjadi pemacu utama dalam agenda pemerkasaan TVET negara.

“Komitmen dan kerja keras tenaga pengajar bukan saja besar dalam melonjakkan ketamadunan masyarakat untuk terus teguh mendepani cabaran global.

“Komitmen ini seiring dengan kepentingan TVET pada masa kini, di mana TVET bukan lagi pilihan kedua atau alternatif, tetapi TVET ini sudah berada dalam arus perdana pendidikan negara dan menjadi pilihan utama untuk anak-anak kita berjaya dan memiliki kemahiran, sekali gus memenuhi kehendak industri,” katanya.

Ketua Menteri berkata peningkatan permohonan masuk ke kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding kapasiti pengambilan berjumlah 17,912 orang pelajar jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap nilai pendidikan kemahiran.

“Berdasarkan Laporan The Future of Jobs Report 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) jelas menunjukkan pasaran kerja global sedang mengalami transformasi besar,” katanya.

Menjelang 2030, katanya dianggarkan 170 juta pekerjaan baharu akan tercipta, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, dan ekonomi hijau.

“Di peringkat domestik, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) meletakkan tumpuan utama kepada sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi.

“Ini bermakna, negara memerlukan tenaga kerja yang bukan saja mahir secara teknikal, tetapi juga tangkas digital dan peka terhadap kelestarian,” katanya.

Sesuai dengan keperluan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka ekosistem TVET yang lebih dinamik dan responsif melalui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Hajiji berkata, dalam hal itu, kerajaan Sabah turut tidak terkecuali dengan pengutamaan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, katanya. – Info X