Search

Cubaan seludup barang kawalan guna bot pam gagal

April 17, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup barang kawalan menggunakan bot pam gagal apabila dia ditahan dalam operasi di muara Sungai Kampung Kimihang, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 45 tahun berkenaan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat untuk tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai pemilik bot pam yang membawa pelbagai barang kawalan tanpa dokumen atau kebenaran sah.

“Antara barang dirampas ialah minyak petrol dalam tujuh tong drum besi dianggarkan sebanyak 1,400 liter.

“Turut dirampas minyak masak paket plastik sebanyak 24 kotak dengan anggaran berat 408 kilogram serta gula pasir kasar sebanyak tujuh bandel dianggarkan 168 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rampasan turut melibatkan tiga unit enjin bot pam yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM14,876.80,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Sabah atas kerjasama strategik dan tindakan proaktif dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di perairan Kudat.

Katanya, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. – Info X