Search

Penunggang maut motosikal bergesel kereta memotong di garisan berkembar

April 16, 2026

Info X Reporters

RANAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kereta yang memotong di garisan berkembar sebelum terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Jalan Ranau – Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu wanita memotong di garisan berkembar.

“Ketika memotong, kenderaan berkenaan bergesel dengan motosikal yang berada di lorong bertentangan sebelum mangsa hilang kawalan.

“Mangsa kemudian terbabas dan terperosok di bawah sebuah lori yang berada di laluan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta berkenaan yang memotong di garisan berkembar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan tidak melakukan tindakan berisiko seperti memotong di garisan berkembar yang boleh mengundang bahaya. – Info X