Search

Lahad Datu lokasi pelancaran roket, satelit Asia Tenggara

April 16, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Lahad Datu berpotensi tinggi dijadikan sebagai lokasi strategik tapak pelancaran roket atau satelit di rantau Asia Tenggara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jika tiada halangan, perkara itu dijangka direalisasikan dalam beberapa tahun akan datang.

“InsyaAllah dalam beberapa tahun akan datang, kalau tiada aral melintang, Lahad Datu inilah yang terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket satelit dari Asia Tenggara.

“Jadi ini berlaku dalam dua tiga tahun akan datang, Lahad Datu akan dikunjungi oleh ramai pelancong termasuk saintis-saintis angkasa akan datang ke daerah ini.

“Ini sudah pasti akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Lahad Datu,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, Lahad Datu adalah daerah paling seuai sebagai tapak pelancaran roket atau satelit berdasarkan kajian akhir yang dibuat oleh kerajaan negeri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

“Banyak negeri yang melobi untuk jadi tempat ini (tapak pelancaran satelit), tetapi petunjuk atau kajian mendapati Lahad Datu adalah tempat yang paling sesuai untuk projek ini,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri bukan saja akan terus membawa pembangunan di Lahad Datu, tetapi juga kesejahteraan rakyatnya.

“Saya sebenarnya mempunyai keinginan beberapa kali untuk melawat Lahad Datu, terutama sebelum pilihan raya lalu.

“Tapi, disebabkan beberapa keadaan yang tidak dapat
dielakkan, saya tidak dapat berkempen di sini.

“Tidak apa, kita ada lagi pilihan raya Parlimen tahun depan. Apa yang penting, saya mahu rakyat kita di sini bersatu hati, pilih parti kerajaan untuk kebaikan kita.

“Sebab kerajaan negeri sekarang ini telahpun melakukan yang terbaik
untuk rakyat dan negeri Sabah. Kita ada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan banyak yang berjaya kita buat di negeri ini,” katanya.

Atas sebab itu, Hajiji meminta rakyat tidak mendengar fitnah ditabur pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai umat Islam kita mesti berpegang lepada kebaikan dan kebenaran. Apa yang dibuat oleh kerajaan mesti dinyatakan kepada rakyat.

“Saya minta juga agar rakyat tidak mudah percaya dengan segala tuduhan, tohmahan dan fitnah yang pastinya akan merugikan kita sendiri,” katanya. – Info X