Search

Wanita disamun di dobi, suspek ditahan hari sama

April 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes samun yang menyebabkan seorang wanita cedera dalam kejadian di sebuah premis dobi di Alamesra, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, suspek ditahan di kawasan Inanam pada hari sama kejadian selepas risikan dijalankan.

“Kejadian samun berkenaan berlaku semalam dan mendapat perhatian ramai selepas video insiden itu tular di media sosial.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak polis komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan akan terus mempergiat rondaan pencegahan jenayah di kawasan terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan tidak sahih atau kandungan mengelirukan di media sosial kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang berbuat demikian.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita yang juga penuntut sebuah kolej disamun dalam kejadian di Alamesra. – Info X