SANDAKAN: Seorang pegawai ladang didenda RM48,000 selepas mengaku bersalah memiliki haiwan spesies dilindungi ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sandakan, pada Khamis.
Tertuduh, Hendry Rayner Endim, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki tiga bangkai ular sawa pendek (blood python), seekor ular sawa panjang (reticulated python), seekor bangkai musang dari spesies malay civet dan dua bangkai musang common palm civet.
Semua haiwan itu adalah spesis yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki haiwan dilindungi itu pada jam 2.10 petang, 24 Mei 2025 di jalan utama Paitan – Kanibongan kerana tidak mempunyai sebarang kebenaran sah di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Seksyen 41(2) enakmen sama memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM48,000 atau penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayarnya.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X