Search

Serah diri bawa ekor pari

April 17, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki menyerah diri kepada polis sambil membawa ekor pari yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa dalam kejadian di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, suspek warga asing berusia lingkungan 30-an tampil ke Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan sebelum mengaku terbabit dalam insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek turut menyerahkan ekor pari yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat awal mendapati, suspek turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes berkaitan yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mendatangkan kecederaan, sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa. – Info X