SANDAKAN: Lebih 1,139 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi di sita dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan barang kawalan di Sandakan, malam tadi.
Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan pada jam 9.47 malam itu turut menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang disyaki bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 1,139 kg minyak masak paket bersubsidi saiz satu kilogram setiap paket disimpan di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati individu yang berada di rumah itu gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen bagi penyimpanan barang kawalan berkenaan.
“Semua minyak masak paket bersubsidi itu disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,747,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang wanita berusia 20 tahun yang disyaki bertanggungjawab ketika kejadian turut diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan selama seminggu oleh pihak KPDN sebelum tindakan diambil.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan,” katanya.
Katanya lagi, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Tambahnya, bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan seterusnya tidak melebihi RM5 juta.
Sementara itu, joe Azmi berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta pengauditan rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta tampil menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN,” katanya. – Info X